Wednesday, April 12, 2017

Panduan Mengisi E-FILING Bagi Tahun 2016



Anda semua sudah mengemaskini dan mengisi e-Filing? Jika belum lagi, berikut saya kongsikan panduan untuk mengisi pelepasan cukai pendapatan 2016 bagi individu warganegara/pemastautin Malaysia.

Untuk makluman semua, ada beberapa perubahan yang telah dilakukan bagi pelepasan cukai untuk tahun 2016 berbanding tahun-tahun sebelumnya. Mari kita teliti satu persatu supaya anda memahami dan memudahkan anda mengisi pelepasan cukai lalu mendapat balik bayaran yang setimpal.

Pelepasan 1 - Individu & Saudara Tanggungan

Yang ini sama sahaja seperti tahun-tahun sebelumnya. Pelepasan ini diberikan kepada semua indivdu dan jumlahnya masih sama iaitu RM9,000

Pelepasan 2 - Penjagaan Ibu Bapa



Yang ini ada sedikit penambahbaikkan berbanding tahun sebelumnya iaitu pelepasan ini membenarkan perbelanjaan rawatan perubatan, keperluan khas dan penjagaan ibu bapa yang mempunyai masalah kesihatan yang disahkan pengamal perubatan. Pelepasan ini juga membenarkan bagi perbelanjaan menyara ibu bapa meskipun mereka tidak mempunyai masalah kesihatan dan tidak tinggal bersama-sama. Ini adalah salah satu tambahan untuk pelepasan cukai pendapatan 2016. 

Inisiatif ini sebagai tanda penghargaan kepada anak-anak yang mengambil berat berkenaan dengan kebajikan ibu bapa mereka. 

Jumlah pelepasan ini diberikan sebanyak RM 1,500 bagi ibu (jika bapa telah tiada) dan RM 1,500 bagi bapa (jika ibu telah tiada) atau RM 3,000 bagi kedua-dua ibu bapa (kedua-duanya masih ada). 

Walaubagaimanapun, pelepasan ini ada syaratnya iaitu ibu dan bapa masing-masing tidak berpendapatan melebihi RM 2,000 sebulan dan berumur 60 tahun ke atas.

Pelepasan 3 - Peralatan Sokongan Khas

Pelepasan ini hanya khas bagi individu kelainan upaya (OKU) atau untuk suami/isteri, anak atau ibu bapa kelainan upaya.

Pelepasan ini diberikan dengan jumlahnya terhad kepada RM 6,000

Pelepasan 4 - Individu Kelainan Upaya (OKU)

Bagi individu OKU, mereka mendapat pelepasan tambahan sebanyak RM 6,000 selain daripada pelepasan individu di atas

Pelepasan 5 - Yuran Pendidikan Sendiri

Bagi yang sedang melanjutkan pelajaran, mereka berhak mendapat pelepasan ini tetapi mengikut syarat-syarat seperti dibawah:

a) Peringkat Sijil, Diploma dan Sarjana Muda - kursus yg terlibat adalah Undang-undang, Perakaunan, Kewangan Islam, Teknikal, Vokasional, Industri, Saintifik atau Teknologi sahaja.

b) Peringkat Sarjana dan PhD - semua bidang dan kursus pengajian layak menuntut pelepasan ini.

c) Bagi yang menerima biasiswa semasa pengajian adalah tidak layak menerima tuntutan pelepasan ini.

Jumlah pelepasan ini diberikan sebanyak RM 7,000

Pelepasan 6 - Perbelanjaan Perubatan Penyakit yang Sukar Diubati

Pelepasan ini diberikan kepada rawatan penyakit yang kritikal sama ada melibatkan diri sendiri, pasangan atau anak sebanyak RM 6,000. Antara penyakit kritikal yang dibenarkan mendapat pelepasan ini adalah:

a) Kanser
b) Serangan jantung
c) Pulmonary hypertension
d) Sakit buah pinggang kronik
e) Sakit hati (liver.heptic) kronik
f) Fulminant viral hepatitis
g) Tumor & kecacatan pembuluh darah di otak
h) Melepuh & melecur kebakaran yang keterlaluan
i) Pemindahan organ utama
j) Sindrom Parkinson
k) HIV & AIDS
l) Pemotongan kaki/tangan
m) kecederaan kepala akibat kemalangan
n) Penyakit kulit kronik
o) Penyakit mental
p) Diabetes mellitus
q) Talasemia major
r) Rheumatology
s) Leukemia

Pelepasan 7 - Pemeriksaan Perubatan Penuh

Bagi pemeriksaan perubatan penuh untuk diri sendiri, pasangan atau anak, pelepasan cukai pendapatan sebanyak RM 500 diberikan.

Pelepasan 8 - Pembelian Buku, Majalah, Jurnal dan Penerbitan

Pelepasan sebanyak RM 1,000 diberikan bagi perbelanjaan yang melibatkan pembelian seperti dinyatakan di atas sama ada hardcopy atau elektronik. Tetapi bagi pembelian surat khabar dan bahan bacaan terlarang tidak dibenarkan untuk pelepasan ini.

Pelepasan 9 - Pembelian Komputer Peribadi

Pembelian komputer meja (desktop), komputer riba (laptop), notebook dan ultrabook layak mendapat pelepasan ini.

Bagi pembelian tablet, telefon pintar dan komputer hybird tidak layak untuk pelepasan ini.

Perlu diingatkan pelepasan ini hanya dibenarkan 3 tahun sekali sahaja, bermaksud jika pernah menuntut pada tahun 2015 atau 2014, maka tidak layak untuk tahun 2016.

Jumlah pelepasan yang diberkan adalah RM 3,000

Pelepasan 10 - Tabungan Bersih Dalam Skim SSPN

Pelepasan ini melibatkan tabungan bersih dalam skim SSPN (SSPN-i atau SSPN-i Plus)

Cara pengiraannya adalah (Tabungan bersih = Jumlah simpanan - Jumlah pengeluaran)

Jumlah pelepasan ini dihadkan kepada RM 6,000

Pelepasan 11 - Pembelian Peralatan Sukan Untuk Aktiviti Sukan

Diberikan pelepasan sebanyak RM 300. Terdapat lebih kurang 39 aktiviti sukan yang tersenarai di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997. Contoh rake badminton, bola sepak dan sebagainya.

Pelepasan 12 - Faedah Pembelian Rumah

Pelepasan ini adalah terhad kepada RM 10,000 setiap tahun asas bagi 3 tahun tasiran berturut-turut bermula dari tarikh faedah mula dibayar.

Pelepasan 13 - Bayaran Kepada Pasangan/ Bayaran Alimoni Kepada Isteri

Bagi tahun 2016, peningkatan pelepasan cukai daripada RM 3,000 kepada RM 4, 000. Pelepasan ini boleh dituntut apabila mempunyai pasangan (suami/isteri) yang tidak mempunyai pendapatan.

Bayaran alimoni pula merujuk kepada bayaran nafkah yang diberikan kepada bekas isteri sepertimana yang ditetapkan oleh mahkamah.

Pelepasan 14 - Suami/Isteri Kelainan Upaya

Pelepasan ini diterima apabila mempunyai atau menjaga suami/isteri kurang upaya, maka di berikan tambahan sebanyak RM 3,500

Pelepasan 15 - Anak Di Bawah Umur 18 Tahun

Jika mempunyai anak di bawah umur 18 tahun dan masih belum berkahwin, maka layak untuk mendapat tuntutan pelepasan cukai ini sebanyak RM 2,000 atas seorang anak.

Perlu dinyatakan di sini bawah tiada had bilangan anak ditetapkan asalkan bawah umur 18 tahun dan masih belum berkahwin boleh mendapat pelepasan ini.

Jika suami dan isteri mengisi e-Filling secara berasingan, maka setiap seorang boleh menuntut 
RM 1,000 sahaja atas seorang anak.

Pelepasan 16 & 17 - Anak Berumur 18 Tahun Ke Atas

Jika mempunyai anak berumur 18 tahun ke atas dan masih belum berkahwin dan sedang melanjutkan pelajaran sepenuh masa ( peringkat A-Level, sijil, matrikulasi pra-ijazah), maka layak untuk mendapat tuntutan pelepasan cukai ini sebanyak RM 2,000 atas seorang anak.

                   

Jika mempunyai anak berumur 18 tahun ke atas dan masih belum berkahwin dan mengikuti pengajian peringkat diploma atau ke atas di mana-mana institusi pengajian tinggi dalam Malaysia (bagi institusi pengajian tinggi luar negara, kursus ijazah atau ke atas sahaja), maka layak untuk mendapat tuntutan pelepasan cukai ini sebanyak RM 8,000 atas seorang anak.

Perlu diingatkan pelepasan ini hanya terpakai bagi kusus dan institusi pengajian tinggi yang di iktiraf pihak berkuasa Kerajaan yang berkaitan sahaja.

Peraturan kelayakkan 50% turut terpakai bagi kategori ini jika suami dan isteri membuat tuntutan individu/berasingan.

Pelepasan 18 - Anak Kelainan Upaya

Setiap anak kelainan upaya yang dijaga, layak menerima tuntutan pelepasan sebanyak RM 6,000 seorang.

Bagi anak kelainan upaya berumur 18 tahun dan ke atas, belum berkahwin dan mengikuti diploma ke atas di dalam Malaysia @ ijazah ke atas di luar negara dalam kursus dan di IPT yang diiktiraf oleh pihak berkuasa, maka layak untuk mendapat tuntutan pelepasan tambahan sebanyak RM 8,000.

Ini bermakna, sekiranya anak kelainan upaya ini melanjutkan pelajaran di dalam atau di luar Malaysia, jumlah pelepasan cukai yang boleh dituntut secara keseluruhannya adalah RM 14,000

Peraturan kelayakkan 50% turut terpakai bagi kategori ini jika suami dan isteri membuat tuntutan individu/berasingan.

Pelepasan 19 - Insuran/ Takaful Nyawa dan Caruman KWSP

Untuk jumlah campuran antara bayaran caruman insuran/takaful nyawa dan KWSP (caruman dari bahagian sendiri), jumlah pelepasan adalah dihadkan kepada RM 6,000 sahaja bagi kedua-duanya.

Maksudnya, jika anda membayar caruman takaful nyawa sebanyak RM 3,000 setahun dan KWSP seabanyak RM 5,000 setahun, maka anda layak menuntu pelepasan sebanyak RM 6,000 sahaja.

Pelepasan 20 - Skim Persaraan Swasta & Anuiti Tertunda

Jika anda menyimpan dengan Skim Swasta atau mencarum Anuiti Tertunda (Skim insurans/takaful persaraan), maka layak menuntut pelepasan sehingga RM 3,000 dengan syarat skim yang disertai adalah diiktiraf oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Pelepasan 21 - Insurans/Takaful Pendidikan & Perubatan

Untuk skim insurans/takaful pendidikan atau perubatan (melindungi risiko akibat penyakit kritikal dan juga kad perubatan), anda layak menerima tuntutan pelepasan cukai sehingga RM 3,000

Pelepasan 22 - Caruman Kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)

Untuk makluman anda, ini adalah kategori baru diwujudkan bagi pelepasan cukai pendapatan 2016.

Caruman PERKESO layak mendapat pelepasan sebanyak RM 250.

Tips penting:

1) Untuk mengurangkan cukai kena bayar, anda perlulah mengoptimasikan tuntutan atas pelepasan-pelepasan yang layak dan sah sahaja.

2) Pastikan anda menyimpan resit perbelanjaan dan dokumen yang betul bagi setiap pelepasan yang dituntut, kerana pihak LHDN berhak untuk mengaudit ke atas setiap borang tafsiran yang dihantar dan meminta resit atau dokumen sebagai bukti ke atas maklumat yang telah dinyatakan dalam borang tafsiran tersebut.

3) Pihak LHDN akan menuntut bayaran selebihnya daripada anda jika didapati bersalah atau dokumen tidak diterima. Oleh itu berhati-hatilah semasa mengisi nanti.

4) Jika anda mempunyai lebihan bayaran tahun tafsiran, pihak LHDN akan membayar semula dalam tempoh yang sekejap sahaja sebab saya pernah mengalaminya pada tahun lepas. Oleh itu, cepat-cepat isi cepatlah mereka bayar.

Akhir kata, selamat mengisi e-Filing!

No comments:

Copyright © Syazwan Rahman Designed by azhafizah.com